16 Febuari 2012-Sinar Harian
Melihat kejayaan rakan-rakan dalam perniagaan dalam talian (online)  mampu menjana pendapatan sampingan lumayan, Suriani Fauzi, 41, mendapat  idea untuk melibatkan diri dalam jualan minyak wangi secara dalam talian  sejak tiga bulan lalu.
Hasil dorongan suami yang juga merupakan rakan kongsi, Fauzi Zainal,  43, dan bermodalkan RM3,000 menerusi wang simpanan suami, akhirnya  Suriani membuka perniagaan di MyPerfume Garden.
Memulakan perniagaan dalam talian dengan membangunkan laman sosial  Facebook sebagai medan promosikan produk, MyPerfume Garden berjaya  menjual 22 botol pelbagai minyak wangi dalam tempoh dua minggu.
Menurut Suriani, MyPerfume Garden kini hanya memiliki laman sosial  Facebook sebagai medium komunikasi dan mempromosikan produk kepada  pelanggan.
“Pada masa ini, kami tidak mempunyai laman sesawang sendiri kerana  ingin melihat perkembangan perniagaan terlebih dahulu, lagi pun  MyPerfume Garden masih baru.
“Insya-Allah, kami bakal membuka laman sesawang itu menjelang akhir  tahun 2012,” katanya yang kini hanya mempunyai 40 orang peminat di laman  sosial Facebook dan kira-kira 20 orang pelanggan, sekali gus berhasrat  meningkatkan jumlah pelanggan tetap pada masa akan datang.
Khidmat penghantar peribadi
Menurutnya, kelainan perniagaan dalam talian MyPerfume Garden adalah  kerana menyediakan perkhidmatan peribadi dan mengenali pelanggan dengan  lebih dekat menerusi khidmat penghantaran produk secara berdepan dengan  pelanggan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Katanya, khidmat penghantaran itu dilakukan sebagai salah satu  inisiatif mendapat kepercayaan pelanggan terhadap produk, sekali gus  membantu menambah jumlah pelanggan pada masa akan datang.
Suriani berkata, bagi mengukuhkan lagi perniagaan seterusnya  mengeratkan hubungan dengan pelanggan, MyPerfume Garden giat menjalankan  promosi di Facebook.
“Bagi mengekalkan pelanggan menerima maklumat dan produk terkini,  MyPerfume Garden akan menghubungi atau menghantar sistem pesanan ringkas  (SMS) kepada pelanggan sedia ada dan melalui panggilan telefon selain  pemberitahuan menerusi Facebook.
“MyPerfume Garden turut memberikan tawaran harga istimewa kepada  pelanggan yang membeli produk melebihi lima botol,” katanya, yang juga  merupakan bekas pekerja di salah sebuah syarikat perbankan terkemuka  negara.
Harga lebih murah
Menurutnya, MyPerfume Garden menjual minyak wangi asli dan berjenama  dengan harga lebih jauh murah berbanding produk sedia ada di pasaran.
Katanya, MyPerfume Garden menawarkan harga 60 peratus lebih murah bagi  semua jenama minyak wangi dengan harga serendah RM100 hingga RM180  sebotol.
Suriani berkata, minyak wangi MyPerfume Garden tidak mempunyai kotak,  sebaliknya hanya didatangkan bersama sarung kain kerana ia merupakan  barang yang tidak memenuhi piawaian (reject item) daripada segi struktur  botol ketika proses pembungkusan dilakukan.
“Sebelum ini, kami pernah berhadapan dengan pelanggan yang tidak  berpuas hati dengan keadaan botol produk kerana tidak mempunyai kotak  seperti yang dijual di kaunter.
“Oleh itu, pelanggan perlu faham bahawa barangan reject item tidak  boleh mempunyai kotak kerana akan dikhuatiri menyalahi polisi,” katanya  yang menerima bekalan daripada pengedar yang telah berkecimpung dalam  perniagaan ini selama 10 tahun.
Menurutnya, MyPerfume Garden juga memberikan jaminan sekiranya ada  pelanggan yang tidak berpuas hati dengan minyak wangi yang tidak  bertahan selama dua jam dengan mana-mana minyak wangi baru.
MyPerfume Garden mempunyai 50 jenama minyak wangi terdiri daripada  jenama terkemuka antaranya Chanel, Amani, Guess, Hugo Boss, Versace,  Jadore CD, Escade, Bvlgari, Kate Boss, Tommy Girl, YSL, Polo, CK, Ralph  dan Gucci.
Menurutnya, daripada kesemua minyak wangi itu, Jadore CD menjadi  pilihan ramai wanita dan CK paling diminati oleh pelanggan lelaki  berbanding jenama lain.
Jenama terkemuka jadi tarikan
Bagaimanapun, pelanggan boleh membuat permintaan tempahan bagi jenama  yang tidak terdapat dalam senarai. Namun perlu menunggu sehingga dua  minggu daripada pembekal.
“Dari segi kos penghantaran pula, pelanggan dikenakan cas daripada RM10  sehingga RM12 bergantung kepada berat, yang akan diterima pelanggan  dalam tempoh dua atau tiga hari waktu bekerja menerusi Pos Malaysia atau  Skynet,” katanya.
Cari pengedar luaskan perniagaan
Menurut Suriani, pelanggan MyPerfume Garden majoriti terdiri daripada sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru.
Katanya, MyPerfume Garden berhasrat menerokai pasaran negeri lain pada  masa akan datang, sekali gus mengukuhkan perniagaan sedia ada dengan  membuka peluang perniagaan dengan menjadi pembekal kepada mana-mana  individu yang berminat untuk menjadi pengedar minyak wangi di luar Kuala  Lumpur dan Selangor.
Sasar jualan RM50,000
Individu yang berminat untuk berniaga minyak wangi boleh menghubungi  MyPerfume Garden dan akan mendapat harga istimewa dengan pembelian  minimum 20 botol pelbagai jenama.
“Dalam tempoh tiga bulan berniaga, MyPerfume Garden secara purata  menerima tempahan dua botol sehari dengan pendapatan bulanan RM3,000.
“Kami yakin dapat meningkatkan jualan produk sehingga 40 botol sebulan  dengan purata pendapatan bulanan RM6,000 dan RM50,000 setahun pada tahun  ini,” katanya.
Menurutnya, untuk perancangan lima hingga 10 tahun akan datang,  MyPerfume Garden berhasrat memperluaskan perniagaan dengan membuka butik  wangian dan spa.
 
No comments:
Post a Comment