16 Febuari 2012
Walaupun baru dua tahun beroperasi dalam perniagaan khidmat mencuci rumah dan pejabat, syarikat Bumiputera, Perkhidmatan dan Penyelenggaraan Diamond, optimis perolehan tahunan meningkat kepada 40 peratus berbanding RM40,000 tahun lalu.
Rakan Kongsi, Perkhidmatan dan Penyelenggaraan Diamond, Naim Saidon berkata, daripada jumlah itu tempahan kediaman menyumbang 70 peratus kepada perolehan bulanan dan perkhidmatan itu dilihat mendominasi jumlah keseluruhan tempahan mengatasi segmen pejabat yang menyumbang 30 peratus kepada perolehan.
Menurutnya, purata tempahan kediaman setiap hari mencecah 20 buah rumah, manakala pejabat hanya lima buah. Sejajar peningkatan itu, beliau berkata, dalam tempoh dua tahun, syarikat berhasrat membuka lima cawangan dengan lokasi pilihan di Ampang, Nilai, Gombak, Sungai Buloh dan Klang.
Katanya, berbeza dengan pusat perkhidmatan dan penyelenggaraan lain, syarikat itu mempunyai kelengkapan peralatan cucian dan 20 kakitangan sokongan yang fokus terhadap menawarkan empat jenis perkhidmatan termasuk pembersihan, penyelenggaraan bangunan dan landskap dan pengubahsuaian.
Rakan kongsinya, Nasrin Saidon berkata, perkhidmatan pembersihan dibahagikan kepada empat kategori iaitu cucian kali pertama, mingguan, bulanan dan adhoc. Harga yang ditawarkan bagi setiap perkhidmatan bergantung pada keluasan rumah pelanggan.
Nasrin berkata, perkhidmatan diberikan melibatkan beberapa kawasan sekitar Selangor dan Lembah Klang. Tidak hanya memikirkan keuntungan, mereka sebaliknya memastikan bahan kimia digunakan bersesuaian dengan setiap bahagian rumah supaya tidak memudaratkan kesihatan penghuni.
“Menyedari permintaan dan keperluan pembantu rumah semakin meningkat dalam negara maka kami mengambil inisiatif untuk menawarkan perkhidmatan cucian rumah dan pejabat kepada umum, sekali gus menjadi platform untuk berkongsi kepentingan penjagaan kebersihan kediaman,” katanya.
No comments:
Post a Comment