MELAKA - Tiga pelajar tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)  Terendak, Sungai Udang berjaya menghasilkan sel garam bagi menjana  tenaga elektrik.
Muhammad Dhiyauddin Asyraf Abd. Jalal, Mohd. Syafiq Abd. Aziz dan  Mohamad Nazmi Mohamad Norrizal menghasilkan sel gram itu sebagai  alternatif kepada bateri sel kering yang digunakan kini.
Hasil ciptaan mereka mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila  memenangi pingat emas di Pameran Reka Cipta Pemuda Antarabangsa, Taiwan  pada 11 hingga 13 Februari lalu.
Ketua pasukan, Muhammad Dhiyauddin berkata, idea untuk menghasilkan  sel garam timbul akhir tahun lalu selepas melihat penggunaan bateri sel  kering sebagai membazir wang dan mencemar alam.
"Sel garam ini hanya menggunakan magnesium, tembaga dan air garam untuk menghasilkan tenaga elektrik melalui tindak balas kimia.
"Penggunaannya lebih mudah kerana ia boleh dicaj semula dengan  menukar air garam lama kepada yang baharu. Menghasilkannya juga mudah  iaitu mencampurkan garam biasa dengan air," katanya ketika ditemui di  sini semalam.

 
No comments:
Post a Comment