PULAU PINANG 20 Feb. - Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) telah  melabur RM11 juta bagi projek membangunkan semula kawasan perbandaran di  Georgetown.
Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, projek yang sedang  diusahakan anak syarikatnya, Think City Sdn. Bhd. merupakan projek  perintis untuk meneroka bidang perancangan bandar secara mapan.
Beliau berkata, projek ini selari dengan sokongan mereka terhadap  pengiktirafan yang diberikan kepada Georgetown sebagai Tapak Warisan  Dunia.
"Ia merupakan satu bentuk sokongan dan menjadi penanda aras bagi  Khazanah dalam melaksanakan sebarang projek perancangan bandar mapan di  negara ini pada masa depan," kata beliau dalam sidang akhbar di sini  hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan pembukaan pada  majlis Simposium Pulau Pinang: Pertumbuhan Bandar Hijau di Batu Feringgi  di sini.
Mengulas lanjut, Azman berkata, sebanyak 100 inisiatif dilaksanakan  secara berperingkat yang akan memberi pengalaman kepada syarikat itu  mengukuhkan keupayaan mereka dalam pembangunan sesebuah bandar.
"Khazanah menekankan penggunaan strategi mengharmonikan unsur  perbandaran, penduduk dan aktiviti ekonomi dalam projek percubaan  berkenaan sebagai kaedah baharu mewujudkan bandar mapan di negara  ini,"katanya.

 
No comments:
Post a Comment