APAKAH platform terbaik bagi seorang pelabur yang masih baharu? 
KEPADA pelabur yang baharu dalam pelaburan saham di Bursa Malaysia boleh terus menggunakan platform secara dalam talian atau online trading yang disediakan oleh pihak broker saham.
Bagaimanapun, cara terbaik adalah mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar daripada pihak broker saham berkenaan.
Seperti yang pernah ditulis sebelum ini, kebanyakan broker saham  mengadakan sesi penerangan dan tunjuk ajar secara percuma kepada  pelanggan-pelanggan mereka yang baharu. 
Kebiasaannya pelabur yang sudah biasa menggunakan komputer dan  kemudahan Internet dapat mempelajari cara melabur ini dengan cepat dan  mudah.
Bolehkah pelaburan dibuat sebelum dan selepas masa urus niaga?
Pasaran saham akan memulakan urus niaga jual beli tepat pada pukul  9.00 pagi sehingga pukul 12.30 tengahari untuk sesi pertama dan dari  pukul 2.30 petang hingga pukul 5.00 petang untuk sesi kedua. 
Bagaimanapun, pesanan untuk urusan jual beli saham bermula pada pukul  8.30 pagi untuk sesi pagi dan pukul 2.00 petang untuk sesi petang yang  boleh dimasukkan ke dalam sistem pesanan broker (broker front end - BFE )  yang dihubungkan terus kepada sistem komputer pusat di Bursa Malaysia.
Pada kedua-dua waktu itu, tiada jualbeli yang akan berlaku di dalam  pasaran. Apa yang berlaku adalah pasaran akan "mencari" harga terbaik  apabila ia mula diniagakan pada pukul 9.00 pagi untuk sesi pagi dan 2.30  petang untuk sesi petang.
Kepada pelabur yang menggunakan sistem dalam talian di Bursa  Malaysia, mereka boleh memasukkan pesanan mereka pada bila-bila masa  sama ada pada waktu urus niaga atau di luar waktu urusniaga. 
Cuma apa yang akan berlaku adalah pesanan mereka akan "menunggu dan  beratur" di dalam sistem komputer broker sehingga ia masuk ke dalam  sistem pesanan BFE selepas pukul 8.30 pagi untuk sesi dagangan pagi dan  pukul 2.00 petang untuk sesi dagangan petang secara automatik.
Pada sesi biasa urus niaga pula pesanan mereka akan terus masuk ke  dalam sistem broker saham yang di sambung terus ke sistem komputer pusat  di Bursa Malaysia.
Adakah pelabur boleh membuat pelaburan saham, opsyen dan kontrak hadapan secara dalam talian?
Kebanyakan broker saham di Malaysia kini ada menjalankan perniagaan  mereka secara dalam talian selain cara konvensional melalui telefon.
Selain daripada pelaburan saham di Bursa Malaysia, terdapat juga  broker-broker saham yang menjalankan urusniaga kontrak hadapan untuk  kaunter kelapa sawit (CPO) dan indeks komposit Bursa Malaysia. 
Pelabur bolehlah menghubungi syarikat broker saham mereka untuk  mengetahui sama ada terdapat kemudahan untuk menjalankan urus niaga  tersebut di syarikat broker saham berkenaan.
(Ini adalah siri terakhir tentang melabur secara dalam talian.  Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada penulis melalui  017-3223718 atau Nazarry.rosli@ jssb.com.my)
 
No comments:
Post a Comment